Pembudayaan
Kajian Tindakan dalam kalangan warga pendidik telah dapat dilaksanakan secara
meluas berdasarkan minat dan peningkatan berterusan bilangan guru dalam
menjalankan Kajian Tindakan setiap tahun. Pada masa sekarang, Kajian Tindakan
bukan sahaja dijalankan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah, tetapi ia juga digunakan untuk memperkukuhkan pengurusan di sekolah.
Matlamat utama Kajian Tindakan
adalah berdasarkan kepada satu hasrat iaitu untuk meningkatkan tahap
profesionalisme dalam kalangan pentadbir dan guru di sekolah. Kajian Tindakan
mempunyai dua unsur utama iaitu kajian
dan tindakan. Oleh itu ia sangat
sesuai diaplikasikan dalam konteks pendidikan kerana dua unsur utama ini
seringkali dijalankan secara beriringan, iaitu tindakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan
pendidikan; dan kajian dijalankan
bagi mendapatkan bukti-bukti emperik yang dapat menyokong sesuatu tindakan yang
dilaksanakan. Ia membolehkan pengamal iaitu para pendidik melalui proses inkuiri
penemuan dengan mengkaji masalah-masalah secara saintifik supaya mereka boleh
menilai, menambahbaik dan memantapkan proses membuat keputusan dan amalan.
Peranan dan sumbangan Kajian
Tindakan dalam membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh
pentadbir dan guru di sekolah tidak akan dipertikaikan. Ini adalah kerana
dapatan kajian akan memberi impak yang positif kepada perubahan yang terancang
dan kesannya akan menghasilkan apa yang dikehendaki agar matlamat pendidikan
dapat direalisasikan. Kajian Tindakan diyakini dapat menonjolkan amalan terbaik
dalam pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah. Sehubungan dengan itu,
sewajarnya semua warga pendidik termasuk Pengetua, Guru Besar, dan guru-guru
berperanan dalam membudayakan Kajian Tindakan di sekolah masing-masing.