Isnin, 21 Januari 2013

Ucapan PPD Maran sempena Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan RM100 peringkat Daerah Maran 2013

Berikut adalah Ucapan Tuan PPD Maran, Encik Baharum bin Hj Samat, sewaktu Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan RM 100 Peringkat Daerah Maran 2013.

Bismilahir Rahmanir Rahim,
Assalamulaikum Wa Rahmatulallahi Wa Barakatuh

Salam Sejahtera Salam 1 Malaysia

Yang Berhormat Dato’ Hj. Ismail bin Hj. Abd Muttalib (Ahli Parlimen Maran),
YB Dato’ Hj. Ahmad Munawar bin Hj. Abdul Jalil (ADUN Luit),
YB Dato’ Shahaniza bt Shamsuddin (ADUN Kuala Sentol),
YB En Wan Salman bin Ismail (ADUN Jengka)
Yang berusaha Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Pengerusi MPSM Daerah Maran, Pengerusi MGB Daerah Maran, Pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Maran, Pegawai Pejabat Parlimen Maran,                             
Yang dihormati Pengetua-pengetua, Guru Besar-Guru Besar, guru-guru,
Semua Yang Dipertua PIBG, ibu bapa dan para pelajar sekalian.

YB Dato’ dan hadirin yang dihormati sekalian

        Marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana dengan limpah rahmat-Nya kita dipertemukan lagi khusus untuk menjayakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid-murid di daerah Maran bagi tahun 2013.

            Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Dato’ Hj. Ismail bin Hj. Abd Muttalib (Ahli Parlimen Maran) yang dapat bersama-sama kita untuk menjayakan majlis ini. Tidak lupa juga ribuan terima kasih diucapkan kepada YB Dato’ Hj. Ahmad Munawar bin Hj. Abdul Jalil (ADUN Luit), YB Dato’ Shahaniza bt Shamsuddin (ADUN Kuala Sentol) YB En Wan Salman bin Ismail (ADUN Jengka) yang sentiasa bekerjasama, komited dan prihatin membantu para pelajar khususnya untuk meningkatkan kemajuan pendidikan di daerah Maran.

            Terima kasih juga diucapkan kepada barisan jawatankuasa pengelola yang berjaya  menguruskan majlis yang diadakan pada hari ini dengan jayanya.

Yang Berhormat Dato’ Hj. Ismail,  Dato’-Dato’ dan hadirin yang dihormati sekalian

            Pada 28 September 2012 yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet Tahun 2013 telah meluluskan peruntukan sejumlah RM540 juta untuk pemberian bantuan RM100 kepada semua murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan 2013. Pemberian bantuan ini bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa penjaga murid.

            Untuk makluman YB Dato’ , tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kerajaan telah memberikan bantuan  kewangan sebanyak RM 1 938 200 kepada 19 382 orang murid yang merangkumi 71 buah sekolah di daerah Maran. Ini bermakna kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 0.37% daripada keseluruhan bantuan khas ini kepada daerah Maran sahaja.  Ini membuktikan kerajaan begitu prihatin terhadap masalah dan beban yang dipikul oleh ibu bapa penjaga setiap kali menjelang sesi persekolahan setiap tahun.  Oleh itu, saya amat berharap ibu bapa penjaga dapat menggunakan bantuan yang diberi dengan sebaik mungkin. Pihak sekolah juga saya ingatkan supaya tidak memotong wang bantuan persekolahan RM100 sebagaimana yang telah disarankan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. 

            Pada kesempatan ini saya mewakili warga pendidikan Daerah Maran seramai 2 174 orang dan bilangan murid yang berjumlah 20 692 orang menyatakan sokongan dan dokongan penuh kepada barisan kepimpinan negara yang diterajui  Perdana Menteri Malaysia yang kita sayangi Dato Seri Najib Tun Abdul Razak untuk mencapai dan merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025. Kami yakin dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri kita pada 11/9/2012 yang lalu, sudah pasti memberi momentum yang tinggi kepada warga pendidik Maran untuk terus pantas, berani, cekap dan bijak mencipta kecemerlangan untuk masa hadapan.

            Dari segi matematik, kami warga pendidikan Maran mengetahui dan menghayati 2 aspirasi, 5 aspirasi keberhasilan sistem pendidikan, 6 aspirasi murid, 11 anjakan transformasi dan 3 gelombang pelaksanaan. Sesungguhnya warga pendidikan Maran berbangga dengan pencapaian pendidikan Maran setakat ini. Untuk pengetahuan YB Dato’ , tuan-tuan dan puan-puan sekalian, dalam peperiksaan UPSR, daerah Maran masih mengekalkan kedudukan di tempat pertama di peringkat negeri Pahang untuk 6 tahun berturut-turut dengan memperoleh jumlah 5A seramai 213 orang, peratusan 78.58% dan GPS 2.07.

            Manakala dalam peperiksaan PMR yang diumumkan baru-baru ini, kita berjaya mengekalkan kedudukan no. 7 di peringkat negeri Pahang dengan memperoleh peratusan 67.77% dan jumlah yang mendapat A seramai 49 orang. Dari segi GPS kita bertambah baik sebanyak 0.06 iaitu daripada 2.75 kepada 2.69.

            Justeru, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua YB atas sumbangan yang telah diberikan sama ada dalam bentuk kewangan dan peralatan sepanjang tahun 2012 yang lalu. Tanpa bantuan mereka kita tidak akan berjaya mengecapi kejayaan sebegini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.      

Pihak kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar dalam memastikan kelangsungan pendidikan untuk anak-anak kita. Bagi daerah Maran, pelbagai program dan bantuan kepada murid-murid telah diberikan dalam tahun 2012. Dalam program Membasmi Kemiskinan, Parlimen Maran telah memberikan bantuan Kumpulan Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dari Tahun 1 hingga Tahun 6, Bantuan e-kasih dan Bantuan e-Damak untuk Orang Asli kepada seramai 4012 orang murid yang berjumlah RM 1 003 994.

            Di samping itu, pihak kerajaan melalui Parlimen Maran juga telah memberikan pelbagai bentuk bantuan antaranya Bantuan Pakaian Seragam, Baucer 1Malaysia untuk Tingkatan 6, Bantuan Vitamin 1Malaysia, RMT dan Bantuan NetBook yang berjumlah RM 2 090 421.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

            Selain daripada itu kerajaan juga telah memberikan sebanyak RM1 856 930 kepada 4357 orang murid dalam bentuk biasiswa. Antara biasiswa yang telah diberikan ialah Biasiswa Kerajaan Persekutuan, Biasiswa (BKP-Universiti) Tkt 6, BKP Bukan Melayu dan Biasiswa Yayasan Pahang. Secara keseluruhannya bantuan yang telah diberikan kepada para pelajar di daerah Maran ialah sebanyak RM 8 615 960 (8.62 juta)

            Saya mewakili warga pendidikan daerah Maran juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dato’ Hj Ismail Abd Muttalib kerana telah memberikan sumbangan untuk menjayakan Hari Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Daerah Maran, Program Membaca 1Malaysia dan Program Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBI) yang berjumlah RM45 000.

            Dalam memastikan warga pendidik dan murid-murid yang berada di sekolah dapat belajar dengan selesa, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar untuk meningkatkan prasarana di sekolah seperti membina kantin, menyelenggara KIP dan sistem kumbahan, membaik pulih tandas, menaiktaraf astaka dan membekalkan pelbagai jenis perabot serta peralatan sekolah. Keseluruhan perbelanjaan yang telah diberikan untuk daerah Maran pada tahun 2012 ialah sebanyak RM 4 547 595 (RM4.5 juta).

            Pada kesempatan ini juga saya mengucapkan tahniah kepada 47 orang YDP PIBG yang mewakili 47 buah sekolah menengah dan rendah di daerah Maran yang menerima sumbangan Netbook 1Malaysia.  Tuan-tuan seharusnya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua YB kita khususnya kepada YB Dato Hj. Ismail Abd Muttalib Ahli Parlimen Maran yang telah berusaha mendapatkan Netbook  ini. Diharapkan pemberian Netbook ini dapat membantu tuan-tuan meningkatkan pentadbiran dan pengurusan PIBG di sekolah.

            Akhir kata, tahniah kepada semua penerima bantuan khas RM100 dan penerima bantuan Netbook 1Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Parlimen Maran, ADUN-ADUN yang sudi meluangkan masa hadir pada pagi ini untuk menyerikan lagi Majlis Penyerahan Bantuan Khas Persekolahan RM100 bagi tahun 2013.

Sekian

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamulaikum wa Rahmatullahi Wa Barakatuh.

UPQ, PPD Maran

Selasa, 15 Januari 2013

Calon Tawaran Baru Guru Besar/New Deals 2012

Tahniah diucapkan kepada 12 sekolah rendah Daerah Maran yang telah dicalonkan untuk mendapatkan Tawaran Baru atau New Deals 2012.Maran masih lagi menjadi daerah teramai dicalonkan dan kita berharap semua sekolah ini berjaya memperolehi New Deals tersebut.
    Penilaian oleh pihak Nazir bermula pada 14 Januari 2012 hingga 14 Februari 2012. Pihak Jabatan dan PPD juga akan turut membantu sekolah-sekolah berkenaan. Sekolah-sekolah tersebut ialah;
  1. SK Sentosa
  2. SK LKTP Bukit Tajau
  3. SK Jengka Pusat 2
  4. SK Jengka 15
  5. SK Desa Jaya
  6. SK Sekara
  7. SK Kuala Sentul
  8. SK LKTP Jengka 5
  9. SK Chedong Jaya
  10. SK Pesagi
  11. SK Tanjung Perang
  12. SK Kuala Wau
Berikut ialah bilangan sekolah yang layak untuk diverifikasi di bawah TBKGB 2012;
  • Maran (12 sekolah)
  • Jerantut (10 sekolah)
  • Kuantan (10 sekolah)
  • Kuala Lipis (8 sekolah)
  • Raub (8 sekolah)
  • Cameron Highland (7 sekolah)
  • Temerloh (6 sekolah
  • Pekan (4 sekolah)
  • Bentong (4 sekolah)
  • Rompin (2 sekolah)
  • Bera (3 sekolah)

Khamis, 10 Januari 2013

Stategi Pendidikan Maran 2013

  1. Mengupayakan kepimpinan pendidikan
  2. membina haltuju dan target.
  3. mewujudkan standard dan KPI.
  4. menggerakkan kepakaran individu dan pasukan.
  5. merancang dan melaksanakan program.
  6. mementingkan kesempurnaan proses dan 'headcount'.
  7. berkongsi dengan individu cemerlang dan organisasi cemerlang.

UPQ, PPD Maran

Khamis, 3 Januari 2013

Merekod Surat Masuk dan Surat Keluar

1. Merekod surat masuk dan surat keluar:
Kandungan di dalam fail hendaklah didaftarkan ke dalam kertas minit bagi tujuan kawalan pada peringkat dokumen seperti berikut:
    1. Kandungan (surat masuk) hendaklah dicatatkan
      • surat daripada
      • bertarikh
      • difailkan pada
      • ditulis menggunakan pen dakwat merah.
    2. Kandungan (surat keluar) hendaklah dicatatkan
      • Surat kepada
      • bertarikh
      • difailkan pada
      • ditulis menggunakan pen dakwat biru/hitam.


UPQ, PPD Maran

Rabu, 2 Januari 2013

Contoh Menulis pada Kertas Minit (Am 6)

Contoh Cap Kertas Minit yang boleh digunakan untuk pengurusan fail pejabat.



Contoh menulis pada kertas minit. Merah untuk SURAT MASUK dan Biru untuk SURAT KELUAR.

 
 
Bagaimana untuk menggunakan kertas minit? Cuba lihat contoh di atas. Kertas Am 6 perlu dicap dengan warna BIRU untuk surat keluar dan warna MERAH untuk surat masuk. Satu benang perlu digunakan pada bahagian lubang seperti gambar di atas. Cap nombor juga boleh diguna pada surat masuk dan keluar di bahagian atas surat tersebut.
 
UPQ, PPD Maran

Kepimpinan perubahan

Sebagai leader dalam organisasi, kita perlu menerajui kepimpinan,perlu menggerakkan seluruh keupayaan yang ada. Anda beruntung jika Senior...