Jumaat, 1 Mac 2013

PROGRAM "OUTREACH PBS - PUBLIC ENGAGEMENT PIBG" PERINGKAT DAERAH MARAN 2013

           Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mula dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tahun 2011. Pada masa itu PBS hanya dilaksanakan oleh murid Tahun Satu di semua sekolah, di seluruh negara. Pada tahun 2013, PBS dilaksanakan oleh murid Tahun 1, Tahun 2, Tahun 3, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2.
          PBS bukan menggantikan sistem pendidikan sedia ada tetapi membuat penambahbaikan dengan melaksanakan Pentaksiran Rujukan Standard, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Penguasaan murid direkod dalam aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS).
          PBS secara keseluruhannya bertujuan melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. PBS ada dua kategori iaitu kategori akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
           Sejak tahun 2011, KPM telah menjalankan kursus PBS kepada guru-guru dan pegawai-pegawai di KPM, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Tujuannya adalah untuk memberi penerangan dan penjelasan tentang pelaksanaan PBS. Antaranya ialah kursus Penataran Dokumen Standard Prestasi bagi guru Tahun 1, Tahun 2, Tahun 3, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Mulai April ini KPM akan menjalankan kursus Penataran Dokumen Standard Prestasi bagi guru Tahun 4. Ini kerana mulai tahun 2014, murid Tahun 4 akan melaksanakan PBS.
        Dalam pelaksanaan PBS, sekolah-sekolah juga telah menjalankan program yang melibatkan ibu bapa. Antaranya majlis-majlis penerangan tentang PBS semasa pendaftaran murid dan sesi penerangan semasa Mesyuarat PIBG. Ada sekolah yang menyebarkan maklumat PBS melalui surat-surat atau flyer yang diedar kepada ibu bapa.

          Walaupun demikian, usaha memberi penerangan dan penjelasan tentang PBS tidak terhenti setakat itu. KPM dari semasa ke semasa sentiasa merancang dan seterusnya melaksanakan inisiatif yang memberi fokus kepada pihak-pihak berkepentingan dalam PBS. Antara inisiatif itu ialah apa yang dilaksanakan hari ini iaitu Program Outreach PBS - Public Engagement PIBG di mana kita menjemput ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Dalam program yang diadakan di seluruh negara ini ahli PIBG akan diberi penerangan dan penjelasan tentang PBS. Hasrat KPM ialah dengan penerangan dan penjelasan ini ibu bapa dapat mengetahui dan memahami apa yang anak-anak mereka lalui dan laksanakan di sekolah. Apa bentuk pengajaran, pembelajaran dan kaedah pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah yang melibatkan anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh mengetahui bagaimana ibu bapa boleh melihat perkembangan dan pertumbuhan serta mendapatkan pelaporan penguasaan dan kemahiran anak-anak mereka.
           KPM memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa dari segi pelaksanaan di sekolah guru-guru akan dipastikan semuanya faham dan tahu bagaimana hendak melaksanakan PBS. Latihan-latihan diberi dari semasa ke semasa. Selain latihan/kursus penataran Dokumen Standard Prestasi, pada penghujung tahun 2012 Latihan Hands On PBS telah dijalankan di semua daerah. Latihan ini melibatkan sekolah-sekolah contoh PBS. Setiap daerah mempunyai dua buah sekolah contoh iaitu sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.
         Selain itu, sebagai memastikan pelaksanaan PBS mematuhi peraturan, garis panduan dan dokumen-dokumen seperti Standard Kurikulum dan Standard Prestasi sekolah dibekalkan dengan Buku Panduan Pengurusan PBS. Di samping itu KPM juga telah menetapkan supaya semua sekolah melaksanakan penjaminan kualiti sebagai piawaian untuk memastikan kualiti pelaksanaan PBS mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kualiti menjadi keutamaan dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Penjaminanan Kualiti PBS dilakukan melalui Pementoran, Penyelarasan, Pemantauan dan Pengesanan.
          Program Outreach PBS - Public Engagement PIBG diharap dapat membantu pihak ibu bapa khususnya mengetahui dan memahami tentang pelaksanaan PBS. Kita berharap Yang Dipertua PIBG akan menjadikan penerangan tentang PBS sebagai agenda dalam mesyuarat-mesyuarat PIBG di sekolah masing-masing.
        Terima kasih kepada semua ibu bapa ahli-ahli PIBG yang hadir ke Program Outreach PBS ini dan perjumpaan ini diadakan dalam suasana harmoni dan terbuka. PIBG boleh mengemukakan soalan-soalan yang dapat membantu menambahbaik pelaksanaan PBS. Pegawai dari Lembaga Peperiksaan memberi penerangan tentang PBS. Tujuan pertemuan ini adalah untuk berkongsi maklumat dan tidak sesekali hendak mengajar. Penambahbaikan yang dibuat melalui PBS adalah untuk masa depan anak-anak kita. Untuk menyediakan anak-anak kita pendidikan yang relevan dengan kehendak dan perkembangan dunia semasa. Anak-anak inilah modal insan yang sedang kita pupuk dan didik untuk membolehkan mereka bersaing bukan sahaja di peringkat daerah, negeri atau nasional tetapi mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi menjadi pemain peringkat global (global players) yang mengangkat martabat negara di mata dunia.
 
UPQ, PPD Maran

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas ulasan anda.